Kepentingan emosi dan sosial kanak-kanak

Sebagai orang dewasa, penting kita untuk melihat seorang kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang sihat. Ini kerana, perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak sejak awal dan kecil akan mempengaruhi perwatakan dan perilaku kanak-kanak di alam remaja, dewasa dan seterusnya.

Tentu ada yang bertanya, apa itu perkembangan emosi dan sosial kan? Saya kongsikan untuk bacaan kita semua ya!

"Perkembangan sosial dan emosi (PSE) merujuk kepada keupayaan kanak-kanak untuk rasa yakin diri, rasa percaya, serta empati, iaitu kebolehan untuk memahami dan berkongsi emosi orang lain. PSE turut melibatkan penggunaan bahasa, kemahiran komunikasi serta kemahiran berfikir dalam menjalani kehidupan seharian.

PSE dipengaruhi oleh 3 faktor utama iaitu faktor biologi, perhubungan sesama manusia dan persekitaran. PSE yang kukuh berkait rapat dengan kejayaan dalam kemahiran sosial, akademik, serta pengurusan emosi yang baik di masa hadapan.

Antara elemen kemahiran sosial dan sifat yang menjurus kepada perkembangan emosi yang baik boleh diringkaskan seperti di bawah:

1. Yakin diri – boleh melahirkan pendapat dan idea, serta melaksanakannya dengan bantuan minima daripada orang lain.

2. Ingin tahu – berminat menerokai persekitaran mereka.

3. Daya usaha – boleh mengambil inisiatif atau mencari jalan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

4. Kawal diri – boleh mengawal kelakuan, emosi, dan fikiran daripada mengikut kehendak diri, terutamanya dalam situasi yang sukar.

5. Kerjasama – boleh mengambil bahagian dan menjayakan sesuatu aktiviti secara berkumpulan.

6. Komunikasi – berkeupayaan menyampaikan keinginan secara lisan atau bukan lisan melalui cara yang betul.

7. Makna hubungan – Memahami kedekatan hubungan sesama manusia, serta menunjukkan rasa kedekatan tersebut, contohnya mengambil berat pada rakan yang sedih atau cedera.

Bagaimana nak mengukur PSE ni? Sebenarnya, PSE lebih sukar untuk dipantau perkembangannya, kerana ia bersifat subjektif, dan tidak dapat diukur dengan jelas seperti perkembangan fizikal. Namun PSE boleh dinilai secara objektif, tetapi penilaian profesional hanya dilakukan oleh pakar yang bertauliah sahaja, menggunakan alat penilaian yang diperakui sahih dalam menilai elemen-elemen PSE.

Sebagai orang yang lebih dewasa, kita perlu memainkan peranan dengan sebaiknya. Prihatinlah dengan tahap kemahiran sosial dan emosi kanak-kanak. Sekiranya terdapat kebimbangan atau tanda yang meragukan, segerlah bertindak untuk mendapatkan nasihat dan penilaian awal dari golongan profesional. 

Ingat, anak kita warisan kita. Generasi yang sihat emosi dan sosialnya akan datang, bermula pada hari ini.

Disusun dari sumber: Impian Therapy Centre

#emosi 
#kanak-kanak




Comments